Industri Minyak Sawit Malaysia: 9 Faktor yang Mempengaruhi

Industri Minyak Sawit

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai industri minyak sawit yang penting dalam sektor perladangan dan komoditi. Minyak sawit amat penting untuk digunakan dalam pelbagai industri yang melibatkan minyak sawit sebagai bahan mentah. Contohnya produk makanan dan minuman, kosmetik dan biodiesel.

Namun begitu, prestasi industri sawit bukan hanya bergantung kepada jumlah pengeluaran. Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi pengeluaran, harga, permintaan dan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.

1. Permintaan Pasaran Antarabangsa dalam Industri Minyak Sawit

Permintaan global merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi industri minyak sawit Malaysia.

Malaysia merupakan antara negara pengeksport minyak sawit ke pelbagai negara termasuk India, Kenya, China dan pelbagai lagi. Rekod menunjukkan pada tahun 2025, India kekal sebagai destinasi eksport terbesar minyak sawit Malaysia dengan import sebanyak 2.66 juta tan.

Apabila permintaan daripada negara pengimport meningkat, ia boleh memberi sokongan kepada harga dan eksport minyak sawit. Sebaliknya, perubahan corak penggunaan, keadaan ekonomi atau peningkatan bekalan minyak sayuran alternatif boleh mempengaruhi permintaan terhadap sawit.

2. Harga Industri Minyak Sawit dan Minyak Sayuran Dunia

Harga minyak sawit turut dipengaruhi oleh keadaan pasaran minyak sayuran dunia.

Minyak sawit bersaing dengan minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. Jika bekalan minyak sayuran lain berkurangan akibat faktor cuaca atau gangguan pengeluaran, permintaan terhadap minyak sawit boleh meningkat.

Jika harga minyak soya menjadi terlalu mahal disebabkan oleh kemarau di Brazil atau Amerika Syarikat, pembeli industri (seperti syarikat makanan atau biodisel) akan beralih kepada minyak sawit yang lebih murah. Permintaan yang meningkat ini akan menarik naik harga minyak sawit.

3. Faktor Cuaca dan Perubahan Iklim

Cuaca memainkan peranan penting dalam pengeluaran kelapa sawit.

Seperti artikel sebelum ini, pada bulan November jika El Nino bakal melanda mungkin hingga awal tahun 2027. Jadi pihak yang terlibat telah membuat persediaan dengan mengkaji taburan hujan pada bulan September dan Oktober.

Hujan berlebihan, kemarau, banjir dan perubahan corak cuaca boleh mengganggu proses penanaman, penuaian serta pengangkutan buah tandan segar (BTS) ke kilang.

4. Tenaga Kerja dan Produktiviti

Industri sawit masih memerlukan tenaga kerja yang mencukupi, terutamanya bagi kerja-kerja di ladang seperti menuai dan mengurus tanaman.

Namun, dalam jangka panjang, penggunaan teknologi seperti mekanisasi, automasi, AI dan teknologi digital boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual, di samping meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi.

5. Dasar Kerajaan dan Biodiesel

Dasar kerajaan turut mempengaruhi permintaan terhadap minyak sawit.

Salah satu contohnya adalah penggunaan biodiesel berasaskan sawit sebagai bahan api alternatif. Penggunaan biodiesel bukan sahaja berkaitan dengan agenda tenaga negara, malah boleh mewujudkan permintaan domestik terhadap minyak sawit.

Perkembangan dalam sektor bahan api penerbangan mampan dan teknologi berasaskan biojisim juga berpotensi membuka ruang kepada penggunaan produk sawit dalam sektor hiliran.

6. Keperluan Kelestarian dan Kebolehkesanan

Pasaran antarabangsa kini semakin memberi perhatian kepada aspek kelestarian.

Pembeli dan negara pengimport ingin tahu bagaimana proses minyak sawit ini dihasilkan bukan sekadar mengetahui dari mana minya sawit ini diperoleh.

Perkara yang penting ialah pensijilan, kebolehkesanan rantaian bekalan dan pematuhan kepada keperluan alam sekitar. Malaysia menggunakan pensijilan MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil).

7. Peraturan Perdagangan Antarabangsa

Perubahan peraturan di negara pengimport boleh memberi kesan kepada akses minyak sawit Malaysia ke pasaran luar.

Sebagai contoh, European Union Deforestation Regulation (EUDR) memberi penekanan kepada keperluan rantaian bekalan yang bebas daripada penebangan hutan serta mempunyai tahap kebolehkesanan yang tinggi.

Ini bermakna pengeluar dan pemain industri perlu lebih bersedia dari segi dokumentasi, data, pensijilan dan kebolehkesanan bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

8. Teknologi dan Inovasi

Teknologi menjadi semakin penting dalam memastikan industri sawit Malaysia kekal kompetitif.

Penggunaan AI, dron, IoT, automasi dan teknologi genomik boleh membantu meningkatkan produktiviti, mengesan masalah tanaman dan mengurus operasi dengan lebih cekap.

MPOB sendiri memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kelestarian dan penggunaan inovasi sebagai antara asas daya saing industri sawit Malaysia.

9. Pokok Sawit Berusia dan Penanaman Semula

Usia pokok juga boleh mempengaruhi hasil pengeluaran.

Pokok sawit yang semakin tua boleh mengalami penurunan produktiviti dan akhirnya perlu ditanam semula. Walaupun penanaman semula penting untuk memastikan pengeluaran jangka panjang, kawasan yang baru ditanam memerlukan masa sebelum mencapai tahap produktiviti penuh.

Oleh itu, keseimbangan antara pengeluaran semasa dan program penanaman semula amat penting bagi memastikan bekalan sawit Malaysia kekal stabil.

Kesimpulan

Industri minyak sawit Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan bukan hanya bergantung kepada jumlah pengeluaran. Permintaan dari pasaran global, perubahan harga minyak sayuran, keadaan cuaca, tenaga kerja serta dasar kerajaan antara perkara yang boleh memberi kesan kepada perkembangan industri ini.

Pada masa yang sama, aspek kelestarian, peraturan perdagangan antarabangsa, penggunaan teknologi dan keadaan tanaman juga semakin penting dalam menentukan daya saing industri sawit Malaysia.

Dalam menghadapi persaingan pasaran global yang semakin mencabar, industri sawit perlu terus mempertingkatkan produktiviti, menggunakan teknologi yang lebih baik serta memastikan aspek kebolehkesanan dan kelestarian diberi perhatian. Langkah ini penting supaya produk berasaskan sawit Malaysia terus mendapat tempat dan kekal kompetitif di pasaran antarabangsa.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.